Friday, September 29, 2006

niat puasa budak zaman dulu-dulu



















po' aur-aur
sandar butir nangka
malam ni aku bersahur
esok (pagi) aku berbuka..

***

puasa molek-molek dek !
walaupun aboh tak nampak
tapi Allah nampak
semua yang kita buat..

***

Lafaz niat puasa (hafal yang ni, dek):
"Nawaitu shauma godhin 'an adaa i fardli syahri ramadhaani haadzihis sanati lillahi ta'aalaa".
“Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan Fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala”

Thursday, September 28, 2006

mathematik qoda' puasa

Menyedari wujudnya golongan yang dibenarkan berbuka puasa tetapi wajib pula menggantikannya, husayn (8 tahun) bertanya soalan berikut:
kalau husayn berjalan jauh, lalu berbuka puasa pukul 4 petang. Bolehkah husayn ganti puasa hari itu selama hanya 3 jam sahaja?

Tuesday, September 26, 2006

2 kegembiraan bagi yang berpuasa

Bagi orang yang puasa itu ada dua kegembiraan, iaitu gembira ketika berbuka (atau berhari raya) dan gembira ketika menemui Tuhannya kelak. Dan, demi bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi." (Hadith riwayat Muslim dari Abu Hurairah).

Maryam.. tak sabar-sabar nak berbuka.

puasalah wahai anak-anakku

ramadhan ini
puasalah anak-anakku
puasa betul-betul
jangan curi-curi makan
niat puasa jangan di lupa
jangan muka masam
banyaklah bersabar
rajin-rajin bersahor
kerana pada sahor ada keberkatan..

Sunday, September 24, 2006

ahlan wasahlan yaa ramadhan

Ramadhan datang lagi. Petang sebelum ramadhan, Pasar Sementara Binjai sudah sesak. Tak boleh menyaingi ramainya yang ke surau-surau dan masjid mukim binjai (malamnya) walaupun jumlah mereka dicampur semua sekali!

Ibadat puasa adalah ibadah dikerjakan dengan berlapar dan berdahaga sepanjang hari iaitu sejak terbitnya fajar sodiq (masuk waktu Subuh) hingga terbenamnya matahari (masuk waktu Maghrib). Antara hikmah dan faedah ibadat puasa ialah menginsafkan diri bahawa kita pada hakikatnya adalah makhluk yang dhaif yang perlu sentiasa menghampirkan diri dan beribadat kepada Allah s.w.t. serta mengharapkan limpah kurnia-Nya.
Firmah Allah s.w.t. menjelaskan tentang hikmah puasa Ramadhan yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat yang terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah:183).

Mengulangkaji fiqh ramadhan

Khamis lepas, Ustaz Azhar Idrus revise fekah puasa di surau madrasah almustaqim yang baru siap di Batu 4 Binjai. Antara yang disebut adalah:
(1) Hisab (falaq) adalah bagi menentukan bila tengok anak bulan, bukan menentukan bila puasa.
(2) Bulan merdeka sebenar adalah bulan ramadhan - wa aakhiruhu ithqon minannar.
(3) Waktu imsak terbahagi dua: Imsak wajib - masuk waktu subuh; Imsak sunat - 10 minit sebelum subuh.
(4) Rukun puasa 2: niat puasa; menahan diri dari almubthilun.
(5) Cabut gigi tak batal puasa.
(6) Perkara 'keluar' yang membatalkan puasa: keluar mani dengan sengaja; muntah dengan sengaja.
(7) Had hidung - sekurang2nya tempat keras; Tahi hidung dalam kelopak hidung boleh dikorek; Sunat masuk air ke hidung (istinsyak) ketika wuduk tapi jangan berlebihan.
(8) Had telinga - gegendang!
(9) Berkumur dan gosok gigi, boleh tapi jangan berlebihan.
(10) Afdal mengakhiri qiam dengan witir, bukannya mesti. Justru, tidak perlu menangguhkan witir berjemaah selepas tarawikh. Tapi, tiada 2 witir pada satu malam.
(11) Solat sunat nisfu sya'ban adalah bid'ah !
Seperti biasa kuliyah ustaz azhar pastinya buat perut kita keras, geli hati. Antaranya - minum air 2 teguk tidak membatalkan puasa? kerana puasa telah batal pada tegukan yang pertama :-).

Thursday, September 14, 2006

berita kemalangan dan kematian

Kemalangan ngeri yang diceritakan seorang sahabat semalam rupa-rupanya melibatkan bapa saudara mat nasir dan sepupunya, di hadapan masjid kemasik. Kereta mereka keluar dari kawasan Masjid dan dirempuh oleh lori. Bapa saudara mat nasir meninggal dan sepupunya sedang mendapat rawatan di icu. Terkejut dengan keadaan itu, ibu mat nasir pula meninggal. Inna lilLahi wainna ilaihi raji'un.
Sementara itu di pasir gajah tok (nenek) pak halim meninggal kerana sakit tua. Abah sempat ziarah di tanah perkuburan pasir gajah, semasa talkin sedang dibacakan. Tak ramai tukang talkin yang membaca talkin dengan suara yang mendayu-dayu. Kedua-dua mat nasir dan pak halim adalah rakan sekerja abah. Tapi mat nasir sudah kena vss.

Tuesday, September 12, 2006

membezakan accurate & precise

Ketika dunia sedang menyambut ulangtahun peristiwa 11/9, abah diarahkan hadir seminar calibration anjuran sime-sirim technology (sst) di impiana, kuantan. Antara tujuan seminar ini ialah untuk memperkenalkan SST yang baru membuka cawangannya di kemaman. Mereka hurai istilah-istilah asas tentang measurement, calibration dan PWHT (post weld heat threatment). Ada video kartun tentang kepentingan calibration dalam industri buat peluru di britain.
Di akhir seminar ada satu kuiz yang menguji kefahaman peserta tentang perbezaan antara accuracy dan precision. Pilih mana yang lebih tepat?

Sunday, September 10, 2006

memahami matlamat duit

Orang-orang yang tidak memahami matlamat duit akan sentiasa dilalaikan dengan usaha mencari duit. Mereka akan meninggalkan ibadah terutamanya solat kerana sibuk dan tidak sempat mengerjakannya. Oleh itu memahami matlamat duit adalah sangat penting - duit sebagai alat memudahkan ibadah. Demikian pesan Ustaz Syed Abu Bakar Tuan Taib (imam masjid pasir minal, kemaman) dalam kuliyyah terakhirnya di surau abang li, sebelum ke Baitullah awal ramadhan depan. Usaha mencari duit hendaklah tidak sekali-kali melalaikan kita dari mengingati (suruhan dan larangan) Allah. Abah terkenang arwah Bak (tuan sembok) yang selalu saja memesan kepada sesiapa juga yang menziarahinya supaya jangan sekali-kali meninggalkan solat.

nisfu sya'ban (4) - ustaz awang dagang kata ok

Ustaz awang dagang (ydp pas kemaman) dalam satu taklimat menyebut sambutan ini dibuat bertujuan mengingatkan umat (nusantara khususnya) akan hampirnya ramadhan. Bacaan yasin 3 kali adalah kerana mengambil tempoh antara maghrib hingga isyak. Tiga doa yang dipohon itu adalah merupakan tiga perkara pokok dalam kehidupan manusia. Nampaknya ustaz awang dagang kata ok, boleh amal! Tapi jangan tipu malaikat dengan hanya beramal satu malam sahaja dalam setahun! Dan pemohonan-permohonan ini harus dibuktikan dalam bentuk perjuangan dan kesungguhan..

Friday, September 08, 2006

Nisfu Sya'ban (3) - adalah bid'ah menurut abdulaziz bin baz

Umat Islam di Malaysia umumnya menyambut malam nisfu Syaaban (15hb Syaaban) dengan mengadakan majlis membaca surah Yasin sebanyak 3 kali selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yasin ini diselitkan dengan bacaan doa. Selepas bacaan Yasin pertama dengan doa untuk diselamatkan dunia akhirat, selepas bacaan Yasin kedua doa supaya dipanjangkan umur dalam keberkatan dan selepas bacaan Yasin ketiga doa supaya dianugerahkan rezeki yang halal.
Diperhatikan bahawa amalan sambutan Nisfu Syaaban yang kaifiatnya sebegini tidak diamalkan di tempat lain di seluruh dunia. Tidak hairanlah tiada fatwa yang dikeluarkan oleh Ulama muktabar dunia masakini tentang sahih batilnya amalan ini.
Kita beramal dan beribadat adalah untuk mendapat redha Allah, pahala dan kebaikan . Setiap amalan hendaklah ada contohnya dari Rasulullah SAW atau sahabat-sahabat atau ada petunjuk yang jelas dari al-Quran dan sunnah . Amalan mengkhususkan bacaan dan doa tertentu pada sesuatu masa tanpa nas yang sahih adalah amalan bidaah yang tertolak dan dikhuatiri berdosa; setidak-tidaknya ia akan membazirkan masa dan memenatkan badan.
Kita boleh membaca surah Yasin sebanyak mungkin pada bila-bila masa untuk mendapat pahala tetapi tidak dengan mengkhususkan kepada malam nisfu Syabaan dan dengan bilangan tiga kali. Kita digalakkan berdoa apa saja kepada Allah s.w.t untuk kebaikan dunia dan di akhirat tetapi tidak perlu dikhususkan di celah-celah bacaan Yasin di malam nisfu Syaaban. Dan kita boleh membaca surah Yasin dan berdoa bersendirian, di mana-mana dan bila-bila saja dan tidak perlu berkampung di masjid-masjid dengan harapan mendapat ganjaran istimewa dari Allah s.w.t.
Fatwa berkait hal ini telah dikeluarkan oleh seorang ulama terkemuka, Sheikh ‘Abdul-‘Aziz bin Baz di Timur Tengah - menjelaskan tentang amalan bidaah di malam nisfu Syaaban. Beliau tidak menyebut amalan membaca Yasin dan doa-doa yang mengiringinya kerana amalan tersebut tidak diamalkan oleh penduduk di Timur Tengah atau di bahagian lain dunia Islam. Boleh dikatakan bahawa amalan baca Yasin dan doa ini adalah sebahagian dari sekian banyak amalan bidaah ciptaan rakyat tempatan khusus untuk amalan penduduk nusantara ini!
Ulasan dan terjemahan di : www.darulkautsar.com , dipetik daripada Majmu’ Fatawa Samahat al-Sheikh ‘Abdul-‘Aziz bin Baz, 2/882]

nisfu sya'ban (2) - bukan mudah mengubah adat

Ternyata tidak begitu mudah untuk menjadi agen perubah masyarakat. Harus kental, ada kesediaan ilmu yang kuat dan mesti berani. Tanpa kekuatan itu, kita hanya akan berputih mata. Awal sebelum maghrib lagi surau abang lie sudah ramai dengan masyarakat kampung yang datang untuk amal adat kebiasaan mereka di malam nisfu sya'ban. (Ke manakah mereka pada malam-malam lain?). Mesti baca yasin 3 kali, mesti bawa kuih dan setengahnya solat sunat nisfu sya'ban? Tak perlu dirancang, program ini berjalan secara otomatik. Semua orang seperti sudah mengerti. Ini sudah jadi satu kefardhuan.
Mungkin ada hikmah disebalik kegagalan mendapatkan ustaz untuk beri pengisian ilmu pada malam semalam..

Thursday, September 07, 2006

nisfu sya'ban (1) - perselisihan sebagai satu proses kebangkitan

Suara membid'ahkan sambutan nisfu sya'ban semakin lantang kedengaran. Dulu hanya bising di kalangan orang-orang terpelajar dan di laman-laman maya tapi kini sudah sampai ke kampung-kampung. Semalam di surau abang lie, ustaz harun dengan nada keras menolak amalan itu sebagai suatu yang sudah patut diganti dengan amalan yang lebih baik seperti pengajian ilmu. Tidaklah dapat dipastikan sejauh mana penerimaan masyarakat (terutamanya golongan tua) terhadap perkara yang 'mencarit' adat ini - tidak baca yasin 3 kali macam amalan orang dulu-dulu. Nak pasti, malam ni kita try sekali! Abah cuba menghubungi beberapa orang ustaz, ternyata sudah terlambat. Masing-masing punya program yang sudah diatur lebih awal. Petang ni, janji dengan zali (foto) nak jumpa abang lie sendiri untuk buat pengisian cara baru - kuliyyah fikh ramadan, ulangkaji. Zali sendiri nampaknya tidak begitu senang dengan perubahan yang terlalu drastik. Mungkin boleh baca juga yasin sekali saja sebagai menghormati amalan biasa, (tambahan malam ni malam jumaat) dan kemudian sambung dengan kuliyyah.

Wednesday, September 06, 2006

sekolah kebangsaan bukannya sekolah umno!

Murid darjah 2 Sekolah Kebangsaan Binjai Kemaman, dalam kertas peperiksaan jawi (OTI 5 2006), dikehendaki menyusun perkataan-perkataan jawi - bestari; hadhari; islam; terengganu; ikut susunannya yang "betul". Sebaik saja balik dari sekolah, Husayn bertanya samada susunan yang menjadi jawapannya (islam - hadhari - terengganu - bestari), adakah betul?
Slogan parti politik umno telah dijadikan soalan peperiksaan anak-anak kecil, tanpa mengambilkira bahawa perkataan 'islam hadhari' itu telah dipertikai ungkapannya sebagai sempit dan tidak menggambarkan islam yang syumul. Islam hadhari sepatutnya ditulis sebagai 'hadharah islamiyyah'.
Kita harap cikgu-cikgu perlu buat sedikit kajian sebelum memilih soalan-soalan dalam peperiksaan. Soalan yang mengandungi unsur-unsur politik-kepartian harus dielakkan samasekali, apatah lagi bila ada kekhilafan. Sekolah adalah untuk semua rakyat malaysia, bukan hanya untuk umno.

Tuesday, September 05, 2006

renovasi surau (3) - tolong jangan libatkan sebarang kawasan tambahan!

Rancangan untuk membina semula surau abang lie agak terencat bila tuan tanah datang dan melarang sebarang penambahan kawasan bagi pembinaan surau baru tersebut. Sebenarnya kita telah berjumpa dengan tuan tanah sebelum memulakan projek ini untuk memohon keizinan 12 kaki tambahan kawasan surau. Apabila tuan tanah tidak bersetuju, kita hanya mengambil 3 kaki atau 1 kaki keluar dari kawasan asal, supaya kerja pembinaan surau baru tidak mengganggu surau lama. Dengan itu surau lama terus boleh digunakan dalam masa pembinaan surau baru. Kita tidak menjangka bahawa tambahan sedikit inipun tidak diizinkan! Tanah tapak ini adalah tanah pesaka dan tuan asal tanah tersebut telah memberi keizinan pembinaan surau di atasnya. Tidak ada sebarang hitam-putih, samada ianya berstatus 'wakaf'.
Justeru, dalam mesyuarat jawatankuasa pembangunan semalam, kita putuskan untuk teruskan pembinaan surau baru tanpa melibatkan sebarang tambahan kawasan. Kecuali kawasan belakang/ sisi kiri surau, perlu dapat kepastian samada ia kepunyaan abang lie? Kalau demikian, perlu mendapat persetujuan abang lie (dan keluarga!) untuk penambahan surau di atas tapak tersebut.
Firman Allah, surah alMunafiqun, 10 - Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang diantara kamu, lalu ia berkata - "Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian) ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh?"
Nota: Semalam solat hajat bersama Ustaz Zulkifli Ahmad, mohon dipermudahkan kerja-kerja pembinaan semula surau Haji Ramli. Juga mohon pertolongan Allah SWT ke atas anak-anak yang sedang menghadapi peperiksaan di sekolah pada masa ini. Jamuan disediakan, nasi lemak ayam goreng. Emm.. sedap!

Sunday, September 03, 2006

UPSON 29", setelah berbulan puasa TV

Puasa TV beberapa bulan tidaklah sangat menyeksakan. Hanya barangkali lambat sikit tahu isu-isu semasa. Kesian Saba!, sampai tak kenal juara baru AF, faizal orang marang yang lalu depan mereka semasa di KLIA. Hingga Kak ma (toke tupperware no. 1 kemaman) jadi hairan, seolah saba tak tahu perkembangan semasa. Anak-anak hanya terlepas tengok siri grand sazer dan kartun sinchan..
Sebaik saja paklah habis bentang bajet 2007 di parlimen malaysia, saba balik dari kuantan dengan TV baru - uPson. TV phillip lama kita pakai lebihkurang 5 tahun. Kadir yang baiki TV kita tu kata spare part dia mahal. Cina kedai TV taman semarakpun kata gitu.. Masa sekarang ni abah rasa, tak guna beli tv berjenama. Harga repair dekat nak sama dengan yang baru. Jadi beli yang cap ayam pun kira OK. Harga rm890. Lepas tawar, dapat RM600. Apa yang membuatkan Ki tiba-tiba bermurah hati nak beli tv tu, abah rasa tak elok kita pertikai. Terima saja dan ucaplah - terima kasih Ki, mudah-mudahan Allah tambah lagi rezeki Ki. Ki beli 2 TV sekaligus - satu lagi untuk Kak Ha?
Note: Suis booster (arial) rosak. Di kedai taman semarak ia dijual seset dengan booster kat atas atap, harga RM35. Beli kat bandar kemaman, suis booster saja - RM15.

Friday, September 01, 2006

renovasi surau (2)

Hari cuti merdeka 31-ogos, kita ambil kesempatan untuk mulakan gotong-royong renovasi surau abang lie. Alhamdulillah, ramai yang datang. Hari ni saja kita berjaya pindahkan 4 lori besar pasir untuk lantai batu surau.

malaysia dah 49 tahun merdeka

Sudah 49 tahun Malaysia merdeka. Ustaz Wan Hasan dalam kuliah maghrib khas minggu lepas di surau abang lie kata, kemerdekaan yang sebenar ialah apabila kita bebas melaksanakan perintah Allah SWT. Di Malaysia kita masih dibelenggu oleh undang-undang penjajah dan sedang dijajah oleh bangsa sendiri..
Di kedai kita, jualan bendera tahun ni tidak menggalakkan. Semakin kurang orang pasang bendera . Mungkin tunggu JKKK beri bendera percuma? (Setengahnya, pasang terbalik sebagai protes ekonomi).
Di pantai Telok Mak Nik, khabarnya ramai muda-mudi sedang menyalahtafsirkan kemerdekaan sebagai kebebasan tanpa batas!

pokok daun turi WAN NAH

Resepi ibu semalam membawa nostalgia abah masa kecil - Goreng telor daun turi.
Anak pokok turi yang wan nah beri dua bulan lepas baru setinggi pinggang mek yam, tapi daunnya sudah boleh digunakan. Terima kasih buat mek na kerana sudi tanam tepi rumah dia. Di kemaman, nak tanam satu pokok turipun, abah tak punya tanah!