Tuesday, November 07, 2006

ihtifal (1) - ucapan mat duan

Semalam, sekali lagi Pak Cik Duan telefon ingatkan Abah samada dah siapkan ucapan dia untuk Majlis Ihtifal PASTI Gabungan Mukim Binjai 2006, sabtu depan. Hari ni rasa ada idea sikit! Minggu lepas tu sibuk.. lagipun lambat lagi.. Last minit baru idea ada mari..:-

Assalamualaikum wrm wbth.
Alhamdu lillahi rabbil ‘alamin.
Wassalatu wassalamu ‘ala Saiyidina Muhammadin wa ala alihi, ajma’in.
Puji2an bagi Allah SWT.
Solawat dan Salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarga Baginda yang mulia.
Yang dikasihi Tuan Pengerusi Majlis, Tuan Syed Shahrunuddin yang juga adalah seorang pendidik di Sekolah Rendah Islam Darut Taqwa. Hasil melalui pendidikan Islam sepenuhnya, beliau sekarang adalah juga Imam di Masjid Pasir Minal, Kemaman.
Yang dimuliakan Ustaz Hazri Jusoh, Ketua Urusan Ulama PAS Kawasan Kemaman, sebagai perasmi Majlis Ihtifal PASTI kali ini;
Yang dikasihi Tuan Haji Ismail Harun, Ketua MTD DUN Air Putih, merangkap Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kemaman;
Yang dikasihi Ustaz Zulkifli Ahmad, Penyelaras PASTI Kawasan Kemaman;
Ahli2 Jawatankuasa PAS Kawasan Kemaman;
Ahli2 Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman;
Ahli2 Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kawasan Kemaman;
Ahli2 Jawatankuasa PAS Cawangan-cawangan;
Semua Jawatankuasa Sambutan Majlis Ihtifal PASTI Gabungan Mukim Binjai tahun 2006;
Saudara-saudari, ibubapa, guru-guru dan anak-anak PASTI sekalian.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT kerana pada hari ini sekali lagi kita dapat berhimpun untuk menjayakan Majlis Ihtifal PASTI Gabungan Mukim Binjai buat ke sekian kalinya.
Saya suka mengalu-alukan kehadiran saudara-saudari sekalian, khususnya ibu-bapa anak-anak PASTI yang kita raikan pada pagi ini. Majlis kita pada pagi ini, adalah untuk mera’ikan tamatnya pengajian anak-anak PASTI pada tahun ini – yang terdiri dari empat buah PASTI iaitu:
PASTI Darul Yaqin, Batu 4 Binjai (yang merupakan tuan rumah),
PASTI Al Qamariyyah Binjai,
PASTI Nurul Iman Pasir Minal dan
PASTI Permai Jaya.

Mudah-mudahan perhimpunan kita ini sentiasa mendapat naungan Rahmat dari Allah SWT.
Saudara-saudari, ibubapa sekalian,
Setiap hari sekarang, kita mendengar berita-berita yang sangat menakutkan. Berita pembunuhan; perogolan; pembuangan bayi dan janin; kelahiran anak-anak zina; Bahkan, berita kemurtadan sudah hampir ke muka pintu rumah kita; Mat Rempit dan Minah Rempit lahir di mana-mana..
Kesemua ini, adalah manifestasi dari sistem pendidikan barat yang dipertahan oleh pemerintah hari ini.
Oleh itu, kita menyeru supaya sistem pendidikan islam dilaksanakan dalam Negara kita sepenuhnya. Kita menggesa supaya dikembalikan sistem pendidikan sekolah agama rakyat (SAR), yang telah dihapuskan beberapa tahun lepas. Sistem pendidikan Islam perlu terus dipertahan dan diperkukuhkan demi survival bangsa dan Negara kita. Pengajaran Sains dan Matematik hendaklah diajar semula dengan menggunakan bahasa ibunda kita, iaitu bahasa Melayu.

Kita juga merasa amat kesal dan sedih, dengan insiden serangan helikopter tentera ke atas sebuah Madrasah di Pakistan, baru-baru ini. Insiden itu yang membabitkan pembunuhan beramai-ramai yang kononnya untuk memerangi keganasan, dilakukan ke atas sebuah madrasah pendidikan islam. Dan yang menjadi mangsa adalah kanak-kanak yang tidak berdosa. Ini adalah satu jenayah yang sengaja dilakukan dan ia merupakan satu lagi konspirasi jahat penjajah Amerika terhadap madrasah dan pusat-pusat pengajian Islam yang dilebelkan sebagai pusat keganasan.

Saya ingin mengajak semua kita supaya terus beristiqamah dalam perjuangan Islam dan menjadikan PASTI dan Sekolah Rendah Islam AT TAQWA sebagai asas permulaan pendidikan untuk anak-anak kita. Kita mengajar anak-anak, asas-asas pendidikan Islam dan membentuk akhlak mereka agar menjadi insan mulia. Kita bencikan keganasan. Kita sebenarnya adalah pencinta kedamaian dan kebenaran.

Kepada guru-guru PASTI, saya suka merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kerana khidmat mereka yang tidak mengenal penat lelah. Kita berharap pihak PASTI pusat akan terus berusaha mempertingkatkan kualiti pengajaran guru-guru PASTI disamping menambah kebajikan dan insentif terhadap mereka.

Sekali lagi, saya ingin mengucapkan terima kasih atas kehadiran semua dan khususnya Ustaz Hazri Jusoh (Ketua urusan Ulama PAS Kemaman) yang akan merasmikan Majlis Ihtifal kita sebentar lagi.

Saya berdoa moga-moga semua anak-anak kita yang keluar dari PASTI akan terus mendapat tarbiyyah islamiyyah atau pendidikan islam yang sebenar dan mendapat kejayaan dalam kehidupan mereka di masa hadapan.

Sekian sahaja. Was salamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

(Mat Duan adalah Pengarah Sambutan dan juga Pengurus PASTI Al Qamariyyah Binjai, Kemaman)

No comments: